Mengikut kajian Jobstreet, ini senarai pekerjaan paling dicari-cari pada tahun pandemik 2021

APABILA pandemik Covid-19 melanda seluruh negara, ia bukan sahaja memberi impak kepada aspek kesihatan malah situasi ini turut melumpuhkan beberapa sektor ekonomi sehingga ramai yang hilang pekerjaan secara mengejut.

Tidak dapat dinafikan ada antara anda yang sudah berbulan-bulan tidak bekerja dan tiada pendapatan tetap. Ada juga yang menghabiskan waktu di rumah untuk mencari kerja kosong di media sosial dan portal agensi pekerjaan bagi mencari peluang membina kerjaya semula.

Lebih terkesan para graduan yang baru saja ingin menapak ke alam pekerjaan sepanjang tempoh pandemik, mereka sangat memerlukan pengetahuan dan bantuan agar mudah mendapat kerja dalam bidang yang sesuai.

Berdasarkan kajian dan data internal yang dilakukan oleh Jobstreet terdapat 6 jenis pekerjaan paling dicari-cari pada tahun 2021 yang anda perlu tahu.

1. Pemasaran Digital

Kini semuanya di hujung jari, begitulah situasi sekarang di mana kebanyakan pekerjaan melibatkan jawatan ‘digital marketing’ kerana ia sangat diperlukan untuk memasarkan sesuatu produk melalui platform digital dan media sosial.

Pemasaran digital merupakan bidang yang luas di mana seseorang itu perlu mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam platform laman web, media sosial, strategi, reka bentuk dan memerlukan kemahiran lisan yang baik.

2. Strategi Media Sosial

Jika anda lihat di mana-mana media sosial tentang sesuatu produk atau jenama itu adalah salah satu pekerjaan seseorang yang melakukan strategi media sosial. Ia berperanan sebagai ‘mastermind’ dalam mengendalikan media sosial.

Pekerjaan ini melibatkan kreativiti untuk meningkatkan interaksi antara bersama pengikut media sosial, menganalisis trend masa kini dan menyediakan kempen bulanan.

3. Pereka UI UX

Pereka User Interface dan User Experience adalah dua kemahiran yang berbeza tetapi keduanya melengkapi dalam proses untuk menyiapkan sebuah aplikasi dan permintaannya semakin meningkat.

4. Logistik

Bidang logistik atau pengurusan sumber memerlukan tenaga kerja yang ramai. Industri ini juga menawarkan banyak peluang pekerjaan yang terdiri daripada penyelia logistik, pengurus rantaian pengedaran sehingga penganalisis rantaian pengedaran.

5. Penulis dan Penulis Iklan

Bagi yang gemar menulis dan mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan, anda boleh mencari pekerjaan ini kerana ia amat diperlukan dalam setiap syarikat. Content writer adalah bidang kerja di mana penulisan tersebut bersifat lebih informasi dan deskriptif.

Manakala copywriter digunakan dalam bidang periklanan, seperti kapsyen pada gambar produk. Terdapat beberapa syarikat yang menggabungkan kedua jawatan ini mengikut pengalaman seseorang.

6. Eksekutif Jualan

Setiap syarikat amat memerlukan pekerja yang mahir untuk meningkatkan jualan dari masa ke masa walaupun berdepan dengan situasi pandemik. Selain mengawal prestasi jualan, ia juga berperanan untuk menjawab segala pertanyaan mengenai produk atau jenama syarikat tersebut.

Pilihan kerjaya anda akan menentukan proses pemilihan kerja sama ada cepat ataupun lambat diterima. Kaji terlebih dahulu minat dan kemahiran anda di mana supaya ia lebih mudah apabila anda menyandang jawatan seperti di atas.

Sumber : https://www.mstar.com.my/xpose/i-suke/2021/06/18/mengikut-kajian-jobstreet-ini-senarai-pekerjaan-paling-dicari-cari-pada-tahun-pandemik-2021